fb fb fb fb fb

Jemaah di Perlis dibenar imarah masjid tanpa terikat status vaksinasi berkuat kuasa 1 April

ARAU, 21 Mac- Berkuat kuasa waktu subuh 1 April, semua jemaah termasuk kanak-kanak dibenar hadir menunaikan solat serta menyertai aktiviti pengimarahan masjid dan surau di seluruh Perlis tanpa terikat dengan status vaksinasi.

Titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, kebenaraan berkenaan setelah mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail susulan negara memasuki fasa Peralihan Endemik.

Titah baginda, jemaah yang hadir juga dibenar menunaikan solat berjemaah dengan merapatkan saf masing-masing tanpa penjarakan fizikal.

"Semua aktiviti pengimarahan masjid dibenarkan seperti kuliah dan ceramah termasuk perkahwinan, jamuan, gotong-royong, majlis berbuka puasa dan iktikaf," titah baginda menerusi satu kenyataan.

(Raja Perlis dan Raja Muda Perlis berbincang mengenai SOP terkini pengimarahan masjid dan surau bersama mufti dan CEO MAIPs)

Sebagai langkah kawalan, kebenaran khas untuk solat Jumaat kepada surau institusi pendidikan masih diteruskan sehingga satu tempoh tertakluk kepada kebenaran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis.

"Disebalik kebenaran diberikan ini, pematuhan terhadap SOP kesihatan dan keselamatan yang berkuat kuasa tetap menjadi keutamaan," titah baginda lagi.

Tuanku Syed Faizuddin turut berharap fasa endemik yang bakal ditempuh nanti menjadi satu permulaan baharu kepada umat Islam sebagai normalisasi pasca penularan COVID-19.

Media Baharu