SUNGAI BULOH, 6 Mei- Jelajah Kita Selangor Aidilfitri yang diadakan di sembilan daerah telah menyemarakan semangat perpaduan kaum di negeri ini.
Exco Pembangunan Genarasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Khairuddin Othman berkata, jelajah ini mendapat sambutan menggalakkan bukan sahaja dihadiri individu beragama Islam sebaliknya kaum lain turut hadir memeriahkan suasana.
"Misi utama jelajah Aidilfiti kita adalah kerajaan Selangor ingin mengekalkan perpaduan dalam kalangan rakyat.
"Kalau kita lihat hari ini bukan sahaja masyarakat Melayu, malah masyarakat Cina dan India juga hadir bersama-sama, ini masej kerajaan negeri Selangor adalah kita kekalkan perpaduan itu, ini adalah Selangor dan inilah cara kita," katanya.
Beliau ditemui di Majlis Rumah Terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri bagi daerah Petaling yang dihadiri hampir 8,000 pengunjung di Tapak Pasar Malam Paya Jaras.
(Foto fail)
Rumah terbuka yang berlangsung sembilan daerah turut akan diadakan di Taman Perwira Sijangkang, Kuala Langat esok, manakala pada minggu depan di Dataran Tanah Lesen, Parit Baru, Sabak Bernam (12 Mei) dan padang awam Bukit Badong, Kuala Selangor (13 Mei).
Jelajah bakal berakhir di tapak Uptown Sri Gombak, Gombak pada 14 Mei yang dijadual dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.