fb fb fb fb fb

JBPM Terengganu terus pantau 300 kawasan 'hotspot' banjir

KUALA TERENGGANU, 28 Disember- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu terus mempertingkat pemantauan di 300 kawasan yang disenaraikan sebagai titik panas berlakunya banjir.

Timbalan Pengarah JBPM Terengganu, Mohd Khairiri Mat Resad @ Arshad berkata, langkah itu sebagai persediaan dalam mendepani segala kemungkinan kecemasan sekiranya banjir kembali melanda.

Menurutnya, kesiapsigaan anggota dan aset juga berada pada tahap maksimum untuk digerakkan pada bila-bila masa bagi melancarkan operasi memindahkan mangsa.

"Kami akan terus bersedia untuk menghadapi gelombang seterusnya yang mungkin akan berlaku dan untuk kita memberi tumpuan kepada lokasi yang dijangka banjir terdapat lebih 300 lokasi yang dikenal pasti.

Kami sentiasa bergerak ke hadapan memberi nasihat kepada orang awam supaya sentiasa berwaspada terhadap keadaan semasa," katanya di sini.

(Mohd Khairiri Mat Resad @ Arshad, Timbalan Pengarah JBPM Terengganu)

Tambah beliau, pihaknya turut terlibat dalam tugasan pasca banjir termasuk membersihkan kawasan sekolah serta masjid.

Jelas beliau lagi, cuti semua anggota bomba termasuk di Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur masih dibekukan sebagai persediaan sepanjang musim tengkujuh ini.

Media Baharu