(FOTO BAHAGIAN UDARA JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIA)
GUA MUSANG, 24 April- Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan dua penerbangan pemindahan perubatan (Medevac) bagi membantu tiga wanita qrang asli dari Pos Balar dan Pos Simpor menerima rawatan lanjut di Hospital Gua Musang, semalam.
Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pangkalan Udara Wilayah Utara, Pulau Pinang, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Akmaluddin Said menerusi satu kenyataan memaklumkan dua pesakit dari Pos Balar adalah wanita mengandung yang mengalami sakit sejak beberapa hari lepas.
"Dua pesakit dari Pos Balar itu adalah Rena Amat, 28, yang mengalami sakit di bahagian perut dan belakang badan selama dua hari manakala Maria Aluj, 24, pula tidak dapat makan akibat mengalami bengkak di bahagian dagu selama lima hari.
"Selain itu, seorang lagi pesakit Jalisah Beloy, 45, dari Kampung Sedal, Pos Simpor, mengalami demam campak sejak lima hari lalu berada dalam keadaan lemah dan memerlukan pengusung sebelum dibawa menaiki pesawat Agusta Westland 139 (AW139)," katanya dalam kenyataan tersebut.
Beliau berkata kesemua pesakit dibawa ke Hospital Gua Musang dan operasi itu mengambil masa selama tiga jam 36 minit.
(FOTO BAHAGIAN UDARA JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIA)