JOHOR BAHRU, 31 Mac- Sebanyak 124 notis arahan penghapusan bahaya kebakaran dikeluarkan hasil siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, sejak Januari hingga semalam.
Pemeriksaan dijalankan menerusi inisiatif Menghapus Bahaya Kebakaran (MBK) sempena musim perayaan Aidilfitri.
Pengarah JBPM Johor, Siti Rohani Nadir berkata pemeriksaan dijalankan Jawatankuasa Khas MBK yang diwujudkan bagi menjamin keselamatan penduduk terutama menjelang musim perayaan.
"Jika berlaku kecemasan bila ada 'grill' seseorang tidak boleh melepaskan diri itu antara bahaya kebakaran, selain sistem yang tidak berfungsi seperti 'sprinkler' dan tanda 'sign' keluar tidak menyala juga antara bahaya kebakaran.
"Termasuk longgokan barang yang boleh halang laluan itu adalah bahaya kebakaran. Halang menyelamatkan," katanya kepada pemberita di sini.
Dalam pada itu, 90 premis pasar raya dan rumah hiburan turut diperiksa jabatan itu menerusi inisiatif berkenaan, dengan dua notis arahan MBK dikeluarkan.
Pihaknya akan mempergiatkan operasi terutama ketika menjelang musim-musim perayaan setiap tahun.