Banjir Nepal: Keluarga harap Mohd Fakhrul Munir ditemukan selamat

Mohd Fakhrul Munir  / Foto FB Loe Nepal

SIK, 28 Ogos – Keluarga pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang antara rakyat Malaysia masih gagal dihubungi susulan kejadian banjir di Nepal terus berfikiran positif dan berharap beliau ditemukan selamat bersama ahli kumpulannya yang lain.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mohd Saiful Munir, 46, abang kepada Mohd Fakhrul Munir, berharap adiknya hanya terputus hubungan akibat bencana di Rasuwa.
  • Keluarga menganggap kejadian itu musibah dan percaya Mohd Fakhrul mungkin terperangkap serta tidak dapat berhubung kerana gangguan komunikasi.
  • Mohd Fakhrul aktif mendaki; berkunjung ke Nepal tiga hingga lima kali setahun, jadi keluarga tidak menganggap pemergiannya luar biasa.

Mohd Saiful Munir Mohd Isa, 46, abang kepada Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, 44, berharap adiknya hanya terputus hubungan susulan bencana yang melanda Rasuwa.

Mohd Saiful Munir yang juga Pegawai Operasi di Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang berkata, kali terakhir beliau berhubung dengan adiknya adalah kira-kira seminggu lalu sebelum Mohd Fakhrul Munir berlepas ke Nepal.

Ketika ini, keluarganya menganggap kejadian itu sebagai satu musibah dan percaya Mohd Fakhrul Munir mungkin terperangkap di lokasi kejadian serta tidak dapat berhubung berikutan terputusnya komunikasi.

“Kita doakan yang baik dan berfikiran positif bahawa Mohd Fakhrul Munir selamat. Dalam situasi musibah ini, kita cuba melihatnya daripada sudut yang positif dan menganggap Mohd Fakhrul Munir mungkin masih terperangkap di lokasi kejadian.

“Kita perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan, termasuk keadaan yang lebih buruk. Sebab, kalau mengikut laluan pergerakan, memang Mohd Fakhrul Munir berada di sekitar kawasan lembah,” katanya.

Menurut Mohd Saiful Munir, keluarga tidak menganggap pemergian adiknya ke Nepal sebagai sesuatu yang luar biasa kerana beliau sememangnya aktif dalam aktiviti mendaki dan kerap berkunjung ke negara berkenaan yang dianggapnya sebagai rumah kedua.

Katanya, adiknya berkunjung ke negara itu antara tiga hingga lima kali setahun.

Terdahulu, media melaporkan dua pegawai JBPM antara rakyat Malaysia yang masih gagal dihubungi susulan kejadian banjir besar itu.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad, mengesahkan kedua-dua pegawai itu ialah Mohd Sani Harul dan Mohd Fakhrul Munir yang merupakan sebahagian daripada kumpulan 10 rakyat Malaysia dalam perjalanan ke ‘Everest Base Camp’.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.