KUALA LUMPUR, 3 Mei - Beberapa cadangan pindaan kepada Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700) antara yang diteliti dalam sesi perbincangan pengukuhan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) pertama, pada Selasa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan sesi itu membincangkan mandat Perdana Menteri mengenai cadangan mewujudkan badan bebas baharu dan pengukuhan EAIC bagi memantau salah laku agensi penguatkuasaan.

"Antara perkara yang telah dibincangkan adalah penubuhan Jawatankuasa Pro-tem yang dipersetujui oleh Jemaah Menteri pada 19 April 2023.
"Jawatankuasa Pro-tem ini antara lain akan mengkaji keperluan memasukkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai salah sebuah agensi penguatkuasaan yang disenaraikan di bawah seliaan EAIC,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Susulan itu, Azalina berkata Jawatankuasa Pro-tem akan mengadakan sesi libat urus bersama dengan semua pihak berkepentingan termasuk Ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta badan bukan kerajaan dalam masa terdekat.
"Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri amat komited dalam mewujudkan sebuah badan benar-benar bebas yang mempunyai kuasa kawalan tatatertib yang efektif dan berkesan untuk menyemai dan meningkatkan integriti dalam kalangan pegawai penguat kuasa dan agensi penguatkuasaan,” katanya.