fb fb fb fb fb

Jawatankuasa bersama antara Perlis, tiga wilayah di selatan Thailand bakal ditubuh

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli

HAT YAI, 6 Mac- Satu jawatankuasa bersama untuk meningkatkan kerjasama antara kerajaan negeri Perlis dengan pihak berkaitan di tiga wilayah di selatan Thailand iaitu Yala, Songkla dan Satun akan ditubuhkan dalam masa terdekat.

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata ia merupakan usaha bagi memudahkan kerjasama dalam sektor pelancongan dan seterusnya sektor pendidikan dan ekonomi.

“Kita tubuhkannya bagi memudahkan lagi hubungan antara (kerajaan negeri) Perlis dengan tiga wilayah ini, kita akan mulakan dengan pelancongan, kemudian Insya-Allah, kita akan masuk ke pendidikan dan ekonomi, perniagaan. Kita akan usaha ke arah itu (menubuhkan jawatankuasa bersama itu),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi interaksi berkaitan agenda pelancongan serta kerjasama antara kerajaan negeri dan Selatan Thailand, sempena penganjuran Hari Media dan Pelancongan Selatan Thailand 2024 yang berlangsung dua hari bermula semalam, di sini hari ini.

Antara yang turut serta dalam sesi interaksi itu Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Perlis Wan Badariah Wan Saad dan pemain industri pelancongan bagi pihak Selatan Thailand.

Mohd Shukri berkata sesi interaksi itu menjadi platform baik untuk kerajaan negeri mempromosikan tempat pelancongan di Perlis sempena kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2025.

Bagaimanapun beliau berharap kesinambungan hubungan antara pemain industri pelancongan di Perlis dengan Selatan Thailand akan berterusan dalam usaha meningkatkan kehadiran pelancong dari negara jiran itu ke Perlis.

ZEHRA BINTI ZAMBRI