KOTA BHARU, 8 Oktober - Semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan agensi terlibat telah siap siaga menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula November ini, demikian menurut Pengarah Bahagian Mitigasi, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Ts Ahmad Shahrir Md Nazri.
Beliau turut memaklumkan 1,912 kawasan hotspot banjir telah dikenal pasti di seluruh negara.
"Negeri paling banyak kawasan berisiko ialah Sabah (318), disusuli Sarawak (236), Kedah (221), Pahang (172), Kelantan (26) dan Terengganu (17).
"Lokasi-lokasi hotspot ini perlu disemak seperti punca kejadian (banjir). Sesetengah tempat disebabkan oleh sistem saliran yang tidak diselenggara dan ada juga disebabkan limpahan air," katanya ketika ditemui media pada Forum Iklim Kebangsaan 2025 ‘Amaran Awal, Tindakan Bersama’ di sini yang dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Nor Yahati Awang.
Tambah beliau, sebagai langkah persediaan juga, sebanyak 258 pam air bergerak disediakan bawah seliaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
"Inisiatif ini bagi membolehkan air dikeluarkan dengan lebih cepat terutama melibatkan kawasan banjir termenung," jelasnya.
Mengulas lanjut, Ts Ahmad Shahrir memaklumkan, Mesyuarat Jawatankuasa Bencana Pusat akan diadakan Isnin ini yang akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.