KUALA PERLIS, 15 Oktober- Jabatan Penerangan Negeri (JAPEN) Perlis terus mengerakkan hebahan bergerak atau Info On Wheels (IOW) bagi mendekatkan masyarakat dengan maklumat dan isu semasa.
Sehingga kini sebanyak 160 program hebahan bergerak telah dilaksanakan di lebih 900 lokasi di seluruh 15 kawasan Dewan Undangan Negeri merangkumi kesemua 3 kawasan parlimen iaitu Kangar, Arau dan Padang Besar.
Menurut Ketua Cawangan Media Siber Jabatan Penerangan Negeri (JAPEN) Perlis, Noor Aini Hanapiah, selain menyampaikan maklumat berkaitan program dan inisiatif kerajaan, JAPEN turut menyampaikan hebahan tentang program-program anjuran jabatan dan agensi kerajaan negeri Perlis.
"Hebahan berkenaan dilaksanakan melalui pembesar suara oleh pegawai bertugas di beberapa lokasi seperti Kedai Makan, Pasar Pagi, Kawasan Perumahan dan Kampung serta lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan ramai." jelas Aini yang ditemui pada Program Hebahan Bergerak (IOW) Khas Belanjawan 2024 di sekitar Parlimen Kangar.
Hebahan yang dilaksanakan setiap hari berkenaan melibatkan 12 pegawai di ketiga-tiga kawasan parlimen dimana program ini dilihat mampu memberi kesedaran tinggi kepada masyarakat terutamanya dalam memberi maklumat yang tepat dan sahih.
(FOTO RTM)