fb fb fb fb fb

24 pegawai kadet kor SUAR UniSZA ditauliahkan pegawai integriti muda

(Tan Sri Azam Baki (duduk, tengah) bersama 24 Pegawai Kadet Kor SUAR UniSZA yang ditauliahkan
sebagai Pegawai Integriti Muda (YIO) semalam/ FB Pusat Pembangunan Holistik Pelajar UniSZA)

KUALA TERENGGANU, 15 Oktober- - Sebanyak 24 Pegawai Kadet Kor Sukarelawan Mahasiswa Antirasuah (SUAR) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kohort 1/2023 ditauliahkan sebagai Pegawai Integriti Muda (YIO) semalam.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata usaha sama pendidikan antirasuah sama ada secara formal atau tidak formal dalam sektor pendidikan kini dilihat sebagai satu daripada inisiatif utama yang ditekankan kerajaan dalam merencanakan negara bebas rasuah.

"Saya harap kumpulan pertama kadet yang ditauliahkan oleh Lembaga Pengiktirafan Pegawai Integriti Bertauliah (LPPIB) ini akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak universiti awam untuk  menawarkan kursus yang sama di kampus masing-masing.

"Kadet-kadet ini juga boleh dipertimbangkan bagi pengambilan sebagai Pegawai SPRM dengan syarat mereka melepasi kriteria yang ditetapkan oleh SPRM dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Tamat Latihan dan Pentauliahan Pegawai Integriti Muda Kadet Kor SUAR di UniSZA Kampus Gong Badak di sini semalam.

Hadir sama, Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Fadzli Adam.

Jelas Azam, penubuhan Kor Sukarelawan Mahasiswa Antirasuah SPRM di UniSZA ialah hasil komitmen Pengurusan Tertinggi UniSZA yang dilakukan pada 18 Disember 2020 bagi menyatakan hasrat untuk menawarkan Kursus Bekredit Kadet SPRM di UniSZA. 

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan Anugerah Akademik Terbaik kepada Nur Athirah Mohamad Zuki;  Anugerah Khas Kor SUAR untuk Nur Fahimah Mohd Shukri Bala Sudaran dan Anugerah Kadet Keseluruhan Terbaik kepada Ahmad Amirul Mukhlis Mohd Buhairi.

 
( Dari kiri: Nur Athirah,  Ahmad Amirul Mukhlis dan  Nur Fahimah bersama anugerah yang diterima)

 

Media Baharu