PENAMPANG, 21 September - Syarikat pengangkutan awam dan barangan diingatkan supaya tidak menunggu hingga saat akhir untuk mendaftar Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS), menjelang pengumuman penyasaran subsidi petrol RON95 Kementerian Kewangan dalam masa terdekat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan, pendaftaran awal akan memastikan syarikat berkenaan dapat menikmati manfaat subsidi sebaik sahaja mekanisme penyasaran dilaksanakan.
"Dari segi proses pendaftaran dan permohonan SKPS, ia sebenarnya mudah. Jika dokumen lengkap, kelulusan boleh diperoleh dalam tempoh sejam. Namun, selepas menerima notifikasi kelulusan, syarikat perlu memohon fleet card daripada syarikat minyak pilihan mereka, dan proses ini akan mengambil sedikit masa.
"Kebimbangan kita ialah apabila tarikh pelaksanaan bermula nanti, ada kemungkinan syarikat di Sabah dan Sarawak masih belum dapat menikmati manfaat subsidi tersebut.
"Jika dilihat sepanjang tempoh enam hari pendaftaran dibuka, iaitu dari 15 hingga 20 September, jumlah penyertaan masih rendah. Di Sabah, daripada 2,677 kenderaan yang layak menurut data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), hanya 89 yang mendaftar. Manakala di Sarawak, daripada 1,970 kenderaan yang layak, hanya enam sahaja yang telah mendaftar," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen Mahasiswa Sabah di sini.
Hari ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memaklumkan jumlah kumulatif permohonan SKPS dari 15 September hingga semalam adalah sebanyak 1,790 syarikat melibatkan 5,449 kenderaan, dengan 164 syarikat membabitkan 249 kenderaan melengkapkan pendaftaran SKPS.
Kementerian itu menganggarkan kira-kira 100,000 kenderaan syarikat pengangkutan darat awam dan barangan di seluruh negara layak mendaftar menerusi SKPS bagi menikmati subsidi petrol RON95.