TANJONG MALIM, 5 Oktober- Semua pihak diingatkan agar tidak bertolak ansur dalam isu membabitkan rasuah dan salah guna kuasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru masyarakat untuk memberi sokongan terhadap usaha kerajaan memerangi amalan tersebut.
"Kerajaan bersikap tegas terhadap individu yang mengaut kekayaan negara, sama ada pada masa lalu mahupun kini, walaupun mereka pernah berjasa.
"Pendekatan tegas terhadap rasuah dan penyalahgunaan kuasa sering dijadikan alasan politik. Ada yang berkata, 'Kasihan, dia dulu berjasa... semua orang pernah berjasa, ketua kampung, penghulu, tok imam juga berjasa. Tetapi, bolehkah mereka yang berjasa itu mencuri duit masjid? tidak boleh!,” katanya ketika berucap pada majlis Syarahan Za'ba Seabad Pemikir Kemiskinan dan Hari Akademia Negara di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini.
Turut hadir ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.