fb fb fb fb fb

Jangan salah guna kebebasan bersuara di media sosial

(Cheng Shi Yi Bai He bersama ayahnya ketika mererima sijil penghargaan atas khidmat
bakti kepada masyarakat di sekitar Sungai Petani)

SUNGAI PETANI, 8 Disember- Salah satu tiang demokrasi moden, di mana hak-hak sivil diakui dan dihargai sebagai penting untuk pertumbuhan dan kebahagiaan peribadi, adalah hak untuk menyatakan diri secara bebas.

Perkembangan Internet terutama media sosial membolehkan orang ramai berkongsi pendapat mereka secara terbuka.

Terdapat pelbagai sudut pandangan mengenai topik sama ada perlu menggalakkan kebebasan bersuara secara aktif dalam talian atau tidak.


(Cheng Shi Yi Bai He (bercermin mata), ketika menyertai program bantuan kepada
golongan yang kurang berkemampuan di sekitar Sungai Petani) 

Bagi pelajar Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Cheng Shi Yi Bai He, media sosial perlu dijadikan sebagai platform untuk menyemai rasa kasih dan sayang serta memupuk perpaduan dan keharmonian dikalangan masyarakat tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan budaya serta latar belakang politik.

Walaupun kebebasan bersuara dibenarkan dalam amalan demokrasi, namun media sosial tidak seharusnya menjadi medan untuk menimbulkan kebencian antara satu sama lain dan menyebarkan propaganda tanpa kawalan yang boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat.

Beliau berkata perlu ada had tentang apa yang boleh diperkatakan di media sosial kerana terdapat banyak komen yang menyebarkan maklumat palsu dan mesej ganas yang tidak baik khususnya untuk golongan remaja.

Beliau yang juga aktivis pelajar berasal dari Sungai Korok, Pinang Tunggal di sini berkata, penapisan perlu dilakukan bagi menyekat penyebaran maklumat atau kenyataan yang dikategorikan sebagai berbahaya khususnya kepada komuniti setempat.

“Pada pendapat saya, semua pihak boleh mengatakan apa yang mereka mahu di media sosial. Kita boleh berkongsi idea kita melalui media sosial, tetapi kita tidak sepatutnya menghantar apa-apa yang menyalahi undang-undang atau berbahaya melaluinya,” katanya.

Katanya, setiap orang mempunyai kewajipan untuk memastikan rangkaian kehidupan yang bersih supaya semua boleh menggunakan media sosial dengan cara yang berfaedah.

Semalam, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, Jawatankuasa Khas Menangani Berita Palsu yang ditubuhkan pada 1 Disember lepas akan memberi penekanan kepada aspek komunikasi terutama pengurusan menangani penyebaran berita palsu.

Beliau berkata, jawatankuasa tersebut akan memantau hantaran palsu di media yang dilihat mempunyai kesan negatif terhadap sistem politik, ekonomi, sosial, budaya, agama, keselamatan dan kedaulatan negara.

Katanya, sebanyak 2,113 kandungan video di aplikasi media sosial TikTok telah disekat secara automatik kerana didapati melanggar Garis Panduan Komuniti platform media sosial tersebut.

Sebanyak 857 video disekat dari tarikh 12 November hingga 18 November 2022 dan 130 video disekat syarikat tersebut pada hari pengundian iaitu pada 19 November lepas.

Media Baharu