KULAI, 31 Ogos – Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching mengingatkan orang ramai termasuk pengamal media supaya tidak mudah mempercayai dan menyebarkan berita palsu, khususnya berkaitan bencana alam seperti gempa bumi.
Ketika ini banyak maklumat tidak tepat dikongsi di media sosial oleh individu yang tidak mempunyai kredibiliti mahupun autoriti.
Menurut Nie Ching, masih terdapat segelintir masyarakat yang lebih cenderung mempercayai maklumat di media sosial berbanding sumber rasmi seperti Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
“Media sosial ini banyak maklumat dikongsikan, tetapi masalahnya literasi digital kita tidak cukup tinggi. Ramai masih percaya sumber yang tidak sahih, contohnya mengenai gempa bumi. Sangat penting untuk kita mendengar dan merujuk kepada Jabatan Meteorologi ,” katanya.
Beliau turut mengulas insiden yang berlaku semasa Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Perak, hari ini, yang menjadi contoh jelas bagaimana berita palsu boleh mencetuskan salah faham masyarakat.
Terdahulu, Nie Ching hadir ke tayangan perdana filem tempatan Legasi Bomba The Movie di Kulai, Johor, yang bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai peranan penting pasukan penyelamat.