KUCHING, 7 November — Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Sarawak orang ramai agar tidak membawa wang tunai dalam jumlah besar atau menggunakan barang kemas yang berlebihan ketika berada di tempat umum.
Ketua Jabatan JPJKK, Senior Asisten Komisioner (SAC) Lukas Aket berkata, ia bagi mengelakkan risiko jenayah seperti rompakan dan ragut, khususnya menjelang musim perayaan dan cuti panjang yang bakal tiba.
"Jangan beri peluang kepada penjenayah. Pastikan pintu dan tingkap rumah dikunci sebelum tidur atau keluar.
"Elakkan membawa wang tunai yang banyak, gunakan kad kredit, dan jangan memakai barang kemas secara berlebihan kerana ia boleh menarik perhatian penjenayah," katanya selepas menghadiri Program Kepolisan Komuniti bertemakan “Mencegah Jenayah Bersama Masyarakat” di Dewan Kampung Semeba Bau di sini, hari ini.
Majlis itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pencegahan jenayah ringan yang boleh ditangani dengan tindakan sewajarnya.
Lukas turut menggalakkan penduduk yang meninggalkan rumah untuk memaklumkan pihak polis di balai berhampiran atau melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).
Ini bagi memudahkan rondaan keselamatan di kawasan terbabit.
Katanya, kerjasama antara komuniti dan pihak berkuasa penting dalam mencegah jenayah.
"Masyarakat juga perlu memainkan peranan dalam memastikan kediaman dan kenderaan mereka selamat ketika ditinggalkan," tambahnya.