KUALA LUMPUR, 8 Februari- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan kepada semua pihak agar terus mengekalkan semangat persahabatan khususnya dalam kalangan rakyat.
Beliau menyifatkan acara Malaysia Sarong Music Run 2025 (MSMR) menjadi wadah terbaik untuk memupuk dan menyemarakkan semangat perpaduan.
"Sarung ini adalah budaya terkenal seantero rantau Melayu ini, jadi kalau ada sarung pakai dan kalau tiada sarung tidak perlu pakai.
"Paling penting adalah semangat. Saya tidak mahu cakap panjang, saya mendoakan semoga semuanya selamat, negara selamat.
"Rakyat selamat, eknomi baik. Jangan izinkan individu-individu yang cuba merosakkan keamanan kita," katanya dalam ucaptama ketika merasmikan Malaysia Sarong Music Run 2025 (MSMR) di ibu negara.
Acara tersebut turut disertai lebih 10,000 peserta terdiri daripada pelbagai latar belakang etnik, budaya dan agama.
Perdana Menteri juga tidak melepaskan peluang dengan menyertai aktiviti berjalan kaki sejauh tiga kilometer selepas merasmikan majlis itu.
MSMR 2025 dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) bersama Malaysia Marathon sebagai penganjur bersama.
Turut hadir Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.