NIBONG TEBAL, 8 Februari- Semua pihak bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sekolah perlu memantau kehadiran individu perseorangan atau syarikat bagi memastikan fasiliti sekolah tidak digunakan sebagai unsur penipuan.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, pihak sekolah perlu membuat pemantauan serius berhubung kedatangan syarikat atau orang tidak dikenali di kawasan sekolah berhubung dakwaan terdapat syarikat menjadikan guru sebagai ejen dan sekolah sebagai lokasi taklimat perunding kewangan.
"Sebenarnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak pernah memberi kebenaran kepada syarikat-syarikat yang ada unsur penipuan ini untuk masuk ke sekolah.
"Jadi sebab itu kita minta semua pihak termasuk Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah berhati-hati menerima tawaran atau sesiapa sahaja yang datang sekolah.
"Kalau boleh rujuk kepada KPM untuk kita memastikan pihak-pihak ini mempunyai niat yang betul atau ada agenda-agenda lain," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Ceria Ke Sekolah Tenaga Nasional berhad (TNB) di sini.
Dalam majlis itu, setiap pelajar menerima baucar RM150 untuk membeli pakaian dan peralatan persekolahan dan ia merupakan sinergi baik antara syarikat luar dengan komuniti setempat.
Dalam perkembangan lain, Fadhlina menjelaskan, sekiranya fasiliti sekolah di Sabah dan Sarawak terjejas banjir baru-baru ini, proses pembelajaran masih boleh diteruskan menerusi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
"Pertama saya rakamkan takziah kepada negeri Sabah dan Sarawak dalam kejadian banjir ini banyak sebenarnya tempat yang kita tidak jangka banjir khususnya di beberapa tempat yang salam ini tak banjir.
"Jadi memang ada sekolah kita yang rosak sepenuhnya dan kita sedang mengenal pasti keseluruhan premis terlibat. Kita jangka ia melibatkan kos sangat besar kerana berdasarkan pantauan awal premis terkesan sangat banyak. Ada juga kawasan yang kita tidak jangka berlaku banjir turut terkesan, jadi persiapan sangat penting," katanya.