fb fb fb fb fb

Jangan buat 'live' aib pasangan – Menteri Agama

Dr. Mohd Na’im Mokhtar

KUALA LUMPUR, 11 Oktober- Kegagalan suami isteri berkomunikasi dengan baik menjadi punca tertinggi perceraian di negara ini, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata, keadaan itu turut mendorong segelintir pasangan menggunakan media sosial sebagai medium meluahkan masalah rumahtangga serta membuka aib pasangan, sedangkan perbuatan itu bertentangan dengan ajaran Islam.

"Media sosial bukan ruang untuk meluahkan rasa tidak puas hati dengan mendedahkan aib pasangan kerana itu tidak selari dengan ajaran Islam. Tidak wajar menjadikan siaran langsung sebagai medium untuk memburukkan pasangan semata-mata bagi meraih jumlah pengikut.

"Sebarang masalah rumah tangga juga tidak sepatutnya dibawa ke pengetahuan umum. Aduan dan luahan seharusnya disalurkan kepada pihak berautoriti, khususnya hakim, kerana itulah saluran yang ditetapkan untuk menyelesaikan pertikaian," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kursus Pascaperkahwinan Islam Muallaf Keluarga MADANI bertemakan 'Atas Nama Cinta' di ibu negara.

Seramai hampir 20 pasangan menyertai program itu yang bertujuan membina kefahaman lebih mendalam tentang tanggungjawab masing-masing serta menambah ilmu dan kemahiran mengurus dan menyelesaikan konflik rumah tangga, termasuk bagi pasangan yang telah lama berkahwin.

SITI AISHAH BINTI MD ISA