fb fb fb fb fb

Jangan ambil mudah kejayaan dan keharmonian negara – PM

Perdana Menteri ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya

PUTRAJAYA, 12 November - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak agar tidak mengambil mudah kejayaan serta keharmonian yang dikecapi negara.

Sebagai sebuah negara yang relatif kecil namun terus meningkat maju, Malaysia perlu sentiasa berwaspada dan berdaya tahan terhadap ancaman iri hati serta permusuhan, bukan sahaja dari luar, tetapi juga dari dalam negara sendiri.

“Secara positifnya, kita kini menjadi tumpuan dalam sektor pelancongan dan pelaburan. Namun, kita perlu berwaspada, sejarah membuktikan bahawa tiada negara mampu bertahan apabila mula dilanda bibit kealpaan dan kecuaian. Itu harus sentiasa kita ingat," katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini.

Datuk Seri Anwar turut menyeru semua pihak agar terus mempertahankan kestabilan, semangat perpaduan serta memperkukuh tadbir urus yang baik sebagai asas kepada kemajuan negara.

Keamanan dan kestabilan yang dinikmati Malaysia tidak boleh dipandang ringan, kerana ia turut menjadi asas penting kepada keyakinan pelabur dan kesejahteraan sosial rakyat.

Perdana Menteri turut menegaskan, kestabilan politik dan tadbir urus yang berintegriti merupakan teras utama kepada kejayaan ekonomi serta kesejahteraan rakyat di bawah kerangka Ekonomi MADANI.

Beliau pada masa sama mengingatkan bahawa, perebutan kuasa secara berterusan hanya akan menjejaskan kestabilan politik serta menambah beban kepada rakyat.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN