fb fb fb fb fb

Laksana program mentoring seawal peringkat sekolah

Dr. Mursyid ketika ditemubual RTM di Angkasapuri Kota Media hari ini / RTM

 

KUALA LUMPUR, 12 Nov- Elemen pementoran perlu dilaksanakan seawal peringkat sekolah bagi melahirkan pemimpin muda yang bukan sahaja mewarisi amalan sedia ada tetapi juga menjadi arkitek masa depan negara yang lebih baik.

Menurut Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Mursyid Arshad pelaksanaan sesi pementoran itu membolehkan golongan belia mendapatkan bimbingan yang betul daripada mereka yang lebih berpengalaman dalam sesuatu bidang.

"Anak muda ini idealistik, ada yang diinginkan. Kadang-kadang sejauh mana benda itu realistik. Idealistik boleh tetapi perlu juga realistik. Disebabkan itu peranan orang dewasa (berpengalaman) itu penting sebagai pembimbing kerana mereka ada pengalaman, kearifan dan kebijaksanaan mereka.

"Elemen pementoran belia sepatutnya bermula dari peringkat sekolah, seterusnya peringkat universiti dan apabila mereka masuk dunia pekerjaan ada juga pementoran peringkat kerjaya mereka iaitu peringkat organisasi dan institusi," katanya yang ditemui selepas menjadi panel dalam program Selamat Pagi Malaysia .

Selain itu katanya penting untuk melahirkan pemimpin muda yang memahami keperluan dan cabaran semasa negara.

Bagaimanapun menurut beliau , pemimpin muda juga perlu bijak membuat keputusan penting tanpa mengenepikan nilai-nilai murni.

"Anak muda perlu letak nilai mendahului tindakan tetapi apa yang jadi sekarang adalah sekarang tindakan mendahului nilai. Jadi perlu letak nilai sebab zaman akan datang cabaran akan lebih mencabar.

"Sekarang apa maklumat kita dapat dari media sosial dan aplikasi dalam talian kalau guna secara baik akan ada manfaat, kalau sebaliknya bawa keburukan," jelas beliau lagi.##

NORZAINAH ZAINAL ABIDIN