KUALA LUMPUR, 12 November - Kerajaan berjaya menjimatkan lebih RM400 juta sebulan hasil pelaksanaan semula penyasaran subsidi diesel di bawah Program BUDI MySubsidi Diesel yang mula dikuatkuasakan sejak Jun tahun lalu.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, langkah itu turut mencatatkan penjimatan keseluruhan sebanyak RM5 bilion setahun, sekali gus mengurangkan ketirisan dan memastikan bantuan sampai kepada golongan sasaran.
“Penjimatan yang diperoleh ini membolehkan kerajaan menyalurkan semula peruntukan bagi membiayai projek pembangunan serta memperkukuh jaringan sosial rakyat melalui program bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR),” katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Tampin, Chong Chieng Jen di Dewan Rakyat.
Menurutnya, melalui Belanjawan 2025, kerajaan telah meningkatkan peruntukan STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM13 bilion, berbanding RM10 bilion pada tahun sebelumnya, dan seterusnya dinaikkan lagi kepada RM15 bilion di bawah program penghargaan SARA.