fb fb fb fb fb

Jambatan runtuh di China: Angka korban meningkat 20 orang

Foto AFP

BEIJING, 21 Julai- Sekurang-kurangnya 20 orang terkorban dan lebih 30 orang masih hilang dalam insiden jambatan runtuh di bandar Shangluo, utara China.

Menurut laporan agensi berita Xinhua, jambatan di barat laut wilayah Shaanxi itu runtuh berikutan hujan lebat dan banjir kilat, pada Jumaat malam.

Banjir kilat berlaku selepas hujan lebat turun selama seminggu di seluruh negara.

Mangsa ditemukan di dalam lima kenderaan yang dijumpai di sungai, bawah jambatan dan 31 orang terselamat.

Siasatan awal mendapati, sejumlah 17 kereta dan lapan trak telah jatuh ke dalam sungai.

Siaran di televisyen menunjukkan sebahagian jambatan tenggelam ke dalam sungai.

Sementara itu, Presiden Xi Jinping menggesa usaha habis-habisan dilakukan bagi menyelamatkan mangsa yang masih hilang.

Di wilayah barat daya Sichuan, lebih 30 orang dilaporkan hilang pada Sabtu selepas ribut petir yang menyebabkan banjir kilat semalaman di bandar Ya'an, lapor Xinhua.

Lapan mayat ditemui setakat petang semalam, manakala empat orang diselamatkan tanpa kecederaan serius, tambahnya.

Jumaat lalu, media kerajaan melaporkan sekurang-kurangnya lima orang maut dan lapan orang hilang selepas hujan mencetuskan banjir dan tanah runtuh di bandar Baoji di Shaanxi.

Televisyen negeri menyiarkan imej kawasan kejiranan yang dibanjiri lumpur, dengan jengkaut dan penduduk cuba membersihkan kerosakan.-AFP

ROSLINA BINTI DIN