PUTRAJAYA, 27 September – Jambatan Monorel Putrajaya yang terbengkalai lebih 20 tahun akan diberi nafas baharu, sebagai jambatan pejalan kaki dan laluan basikal bermula Januari 2026.
Pengumuman itu dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, dalam teks ucapan perasmian Karnival Putrajaya 2025 yang disampaikan oleh Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk TPr. Fadlun Mak Ujud, di Kompleks Futsal Presint 18, Putrajaya.
“Inisiatif ini merupakan satu bentuk guna semula secara adaptif yang dilaksanakan bagi memberi nilai baharu kepada struktur sedia ada.
“Alhamdulillah, bawah Kerajaan MADANI ini, isu ini dapat diselesaikan. Selepas ini, jambatan tersebut akan menjadi tumpuan pelancong sambil menikmati panorama Tasik Putrajaya yang mendamaikan,” katanya di sini.
Selain itu, beliau turut menekankan usaha kerajaan memperkasa tarikan pelancongan lain di Putrajaya, termasuk Astaka Morocco yang akan diperkasakan melalui konsep Baukultur tanpa menjejaskan struktur sedia ada.
“Ini semua kita sedang usahakan untuk menarik lebih ramai pengunjung ke Putrajaya, yang secara tidak langsung akan memberi impak kepada ekonomi setempat,” katanya.
Karnival Putrajaya 2025, yang berlangsung hingga esok menawarkan lebih 60 aktiviti melibatkan komuniti, seni budaya, sukan, gaya hidup dan kelestarian bandar.
Antara tarikan utama ialah Forum Perdana Hal Ehwal Islam, Konsert Di Sini Lahirnya Cinta, persembahan Battle of Zapin dan Dikir MADANI Antarabangsa, selain Kenduri Rakyat serta pelbagai acara rekreasi air di Tasik Putrajaya.
Karnival bertemakan 'Daripada Komuniti Kepada Komuniti' itu dianjurkan PPj dengan sokongan Jabatan Wilayah Persekutuan dan pelbagai rakan strategik, bagi mengukuhkan peranan Putrajaya sebagai bandar komuniti progresif dan berdaya huni.