fb fb fb fb fb

Jambatan Guai, pembangunan kepada penduduk sekitar

BERA, 23 September - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan Jambatan Guai di Kampung Seberang Guai, Bera, Pahang, hari ini.

Ketibaan baginda dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah disambut Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Pahang, Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

"Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Allah kerana limpah inayahnya dapat saya berangkat ke daerah Bera untuk merasmi dan memasyurkan jambatan yang merentasi sungai Pahang yang menghubungkan Kampung Guai dengan Kampung Seberang Guai, Pahang Darul Makmur," titah Yang di-Pertuan Agong, di sini.

Dalam titah, baginda amat berbesar hati kerana menamakan jambatan tersebut sempena nama baginda.

(Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
bertitah ketika merasmikan Jambatan Guai di Kampung Seberang Guai)

Pembinaan Jambatan Al-Sultan Abdullah memberi nilai tambah kepada penduduk dalam meningkatkan sosio ekonomi malah menjadi laluan alternatif kepada penduduk setempat untuk mendapatkan pelbagai kemudahan di daerah berdekatan.

Jambatan yang dibina Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sejak 2016 turut memendekkan perjalanan ke bandar Temerloh dan Kuantan.

Jambatan sepanjang 770 meter dan jalan sepanjang 799 meter itu menghubungkan dua kampung iaitu Kampung Guai dan Kampung Seberang Guai dengan merentasi Sungai Pahang.

Fasaliti bernilai RM98.5 juta ini telah siap sepenuhnya pada 30 November 2021 sebelum diserahkan kepada Kerajaan Negeri Pahang, sekali gus memanfaatkan kira-kira 20,000 penduduk sekitar kawasan tersebut.

Pembinaan ini turut mengembangkan sektor pertanian penduduk setempat dengan meningkatkan hasil penjualan di kawasan terlibat.

"Negeri Sarawak besar sekali, negeri Sabah yang kedua besar, negeri Pahang nombor tiga besar, saya harap banyak lagi program-program, projek-projek yang memberi manafaat kepada mereka yang tinggal di luar bandar kerana mereka amat mengalu-alukan segala kemudahan asas ini.

"Saya dapat dengar, saya dapat surat petisyen daripada berbilang kaum berbilang bangsa daripada borneo tempoh hari yang telah menyatakan untuk dapatkan kemudahan air, api dan elektrik dan wifi, saya harap inilah peranan kementerian," titah baginda.

Media Baharu