HULU LANGAT, 2 Januari - Jabatan Kerja Raya (JKR) memasang jambatan Bailey untuk menggantikan sementara jambatan di Kampung Tanjung Pauh, Batu 19, Sungai Lui, di sini yang musnah akibat banjir besar 18 Disember lalu.
Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, kerja pemasangan jambatan berukuran 18 meter panjang dan sembilan meter lebar berkenaan dimulakan sejak petang semalam dan dijangka siap pagi esok.
"Pemasangan jambatan Bailey dibantu 20 anggota Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) yang juga pakar dalam pemasangan jambatan.
Pada masa sama, kerja-kerja membaiki jalan-jalan yang rosak turut akan dilaksanakan", katanya kepada pemberita di sini.
Tambah Wan Ahmad Uzir, pihak kementerian juga mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana (BigBen) JKR Malaysia yang beroperasi 24 jam sehari bagi memantau dan melaporkan situasi banjir atau bencana alam yang berlaku di seluruh negara.