(FOTO FB JKR MALAYSIA)
KUANTAN, 7 Mac- Jambatan Bailey di jalan utama Felda Selancar dan Perwira Jaya di Rompin, dibuka secara satu lorong kepada semua jenis kenderaan ringan mulai hari ini
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata had muatan kenderaan yang ditetapkan untuk menggunakan jambatan itu ialah 40 tan dengan had kelajuan 30km/j sahaja.
"Saya menyeru kepada semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi arahan papan tanda yang disediakan dan berhati-hati di jalan raya," katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook hari ini.
Pembinaan jambatan Bailey sepanjang 42.67 meter itu bagi membolehkan penduduk meneruskan urusan perjalanan selepas jalan utama itu runtuh pada 1 Mac lepas, akibat limpahan air deras ekoran hujan lebat berterusan.
Runtuhan jalan yang dianggarkan sepanjang 23 meter itu mengakibatkan kira-kira 12,000 penduduk setempat mengalami kesukaran untuk menuju ke bandar selepas jalan berkenaan ditutup bagi semua jenis kenderaan.
Pemasangan jambatan itu dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melibatkan 80 petugas, selepas komponen jambatan itu digerakkan ke lokasi, Khamis lepas dari JKR Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan JKR Daerah Petaling, Selangor.
(FOTO FB JKR MALAYSIA)