LABUAN, 7 Mac- Sebuah balai bomba baharu dicadang akan dibina di Labuan, di kawasan Kiansam, tahun hadapan.
Ini bagi menambah balai bomba sedia ada dalam menampung keperluan, berdasarkan kepadatan penduduk di sekitar kawasan berkenaan.
(Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat (JBPM) Labuan, Abd. Rahman Ali)
Perkara ini dinyatakan Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat (JBPM) Labuan, Abd. Rahman Ali.
Katanya, pembinaan balai baharu itu nanti dapat memberikan respon lebih cepat, sekiranya berlaku sebarang kecemasan atau kes kebakaran.
"Tahun hadapan cadangan akan membuat pertambahan balai bomba di kawasan Kiansam. Itu Cadangan, mungkin akan berlaku pada tahun hadapan. Itu pun bergantung kepada peruntukkan kerajaan, bajet yang akan disalurkan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Jabatan Bomba Dan Penyelamat (JBPM) Labuan 2023, bertempat di Kompleks Ibu Pejabat JBPM Labuan.
Sehingga kini, terdapat empat buah balai bomba di Labuan.
Sementara itu, beliau ditanya mengenai aset kebombaan, beliau berkata, pihaknya turut mencadang penambahan aset untuk JBPM Labuan.
"Penambahan aset jentera ni sebenarnya dibuat oleh peringkat Ibu Pejabat dan cuma kita menunggu aset tersebut datang ia dipanggil CFRT Compact Fire And Rescue Tender. Dia ini kecil sikit sebab kalau ada nanti dia boleh masuk ke ceruk-ceruk kampung berbanding dengan sekarang jentera kita kan kadang-kadang dia tak boleh melalui jalan-jalan kampung yang kecil-kecil," katanya.
Pada majlis ini, turut diadakan penyampaian sijil penghargaan kepada agensi kerajaan, pihak media dan Hero Bomba.