KUANTAN, 28 Julai- Masyarakat peribumi perlu diiktiraf sebagai pihak yang memainkan peranan penting dalam usaha menyelamatkan spesies Harimau Malaya yang semakin terancam.
Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah bertitah, kerjasama erat perlu dibentuk bersama mereka dalam memperkasakan usaha pemuliharaan tersebut.
Ia berikutan komuniti berkenaan lebih mengenali alam semula jadi dan hidupan liar sekali gus membantu usaha memperkasakan pemuliharaan berkenaan.
"Kita mesti mengakui peranan penting masyarakat yang hidup berdekatan Harimau Malaya. Masyarakat ini bukan pihak berkepentingan, mereka merupakan rakan dalam usaha pemuliharaan.
"Kita mesti memupuk kerjasama yang kukuh bersama mereka, memperkasa mereka sebagai penyelamat Harimau Malaya dan sebagai penjaga dan rakan kongsi dalam usaha pemuliharaan biodiversiti," titah baginda dalam Persidangan 1st Pahang Tiger Summit di Hotel Zenith di sini.
Perkara itu bukan sekadar melindungi spesies berkenaan tetapi ia termasuk pemeliharaan habitat dan keseimbangan ekosistem semulajadi.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Datuk Seri Johari Harun turut hadir dalam majlis itu.
Kerajaan Pahang terus komited menjaga kawasan perlindungan dengan mewartakan kawasan seluas 134,183 hektar tanah rizab bagi Harimau Diraja Al-Sultan menjelang akhir 2028.
(Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah)