KUALA LUMPUR, 23 Februari- Individu yang masih ragu-ragu dan bimbang untuk mengambil suntikan dos penggalak vaksin COVID-19 dinasihatkan membuat pemeriksaan tahap kesihatan, demikian menurut pakar perubatan.
Menurut Pakar Perubatan Kesihatan Awam Bahagian Perancangan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Mohamad Fadli Khairie, perbincangan lanjut dengan pegawai perubatan dapat memastikan tahap kesihatan semasa seseorang individu sebelum menerima dos penggalak.
"Sebagai pakar perubatan saya berpendapat keberkesanan dos vaksin penggalak dilihat mampu mengurangkan peningkatan kes jangkitan COVID-19 di negara yang dicetuskan oleh gelombang varian Omicron ketika ini.
"Setiap vaksin mempunyai kesan sampingan, namun keberkesanannya melindungi diri daripada jangkitan teruk Covid-19 adalah lebih baik berbanding kemudaratan.
"Oleh itu dos penggalak perlu diambil segera kerana mampu memberi perlindungan yang terbaik daripada jangkitan COVID-9 dengan lomplikasi serius dan kematian," katanya kepada RTM di Angkasapuri, di sini.
Katanya, varian Omicron berbeza dengan Delta kerana mutasi mempunyai beberapa susunan genetik yang menjadi punca kes mudah tersebar dengan lebih pantas.
"Sebab itu kes kini naik mendadak dan mencatatkan jumlah jangkitan dengan angka besar, tetapi jika telah mengambil dos penggalak, simptom atau gejala kurang teruk berbanding mereka yang langsung tidak menerima vaksinasi atau mereka yang belum menerima dos penggalak," katanya.