fb fb fb fb fb

Jalan Gua Musang-Kuala Krai rosak, tindakan pembaikan segera dilaksana - JKR

ADUN Galas, Mohd Syahbuddin Hashim dan wakil JKR Kelantan melawat laluan berhampiran LTU di Taman Wangi

GUA MUSANG, 1 Januari- Faktor cuaca hujan, selain kekerapan kenderaan berat yang mengunakan laluan antara punca keadaan Jalan Gua Musang-Kuala Krai (FT08) di Gua Musang, Kelantan sering berdepan kerosakan.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Ir. Mohd. Suhaili Ismail berkata faktor itu telah menyebabkan banyak berlaku kejadian tayar kenderaan pengguna jalan raya pecah dan rosak.

Menurut Suhaili, pihaknya menerima lebih 60 aduan secara rasmi dan melalui media sosial mengenai jalan yang berlubang, setakat ini.

Bagaimanapun, jelas Suhaili, tindakan segera sudah diambil oleh pihak kontraktor projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) dengan melakukan kerja tampalan awal di jalan yang rosak terbabit.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berharap masalah itu dapat diselesaikan apabila kerja-kerja membaiki permukaan jalan sudah dilaksana.

"Pihak JKR tadi memberi komitmen yang tinggi untuk membaiki. Ini membabitkan pelan pengurusan risiko terutamanya cuti dan juga kawasan tumpuan yang selalu rosak dan sebagainya."

"Jadi, kita berharap kolaborasi di antara JKR, konsesi, kontraktor dan pengguna jalan raya dapat kita jalinkan agar isu yang timbul ini dapat diselesaikan," kata Mohd Syahbuddin kepada pemberita selepas menyertai sesi taklimat bersama Unit Projek Khas ECER 1 JKR dan Roadcare (M) Sdn. Bhd. di Pejabat JKR Gua Musang dan melawat laluan berhampiran LTU di Taman Wangi.

Sebelum ini, tular di media sosial Facebook tentang kemarahan pengguna yang menjadi mangsa jalan berlubang ketika melalui Jalan Gua Musang-Kuala Krai.

Kebanyakan mereka menyatakan rasa tidak puas hati apabila kenderaan mereka pecah tayar dan memberi risiko kemalangan kepada mereka.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM