fb fb fb fb fb

JAKOA perlu beri perhatian pemilihan Tok Batin - Sultan Johor

(Sultan Ibrahim Iskandar semasa pertemuan bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Datuk Azmi Rohani/
FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar)

JOHOR BAHRU, 8 Januari- Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menitahkan supaya jangan ada mana-mana pihak cuba mengambil kesempatan terhadap masyarakat Orang Asli.

Dalam hantaran terbaharu menerusi Facebook, baginda bertitah kerajaan negeri sentiasa mengambil berat pembangunan sosio-ekonomi dan kebajikan masyarakat itu.

Dalam masa sama, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dititah agar memberi perhatian dalam pemilihan Tok Batin dalam kalangan masyarakat Orang Asli.

“JAKOA perlu lebih sentiasa peka khususnya berkaitan pentadbiran penempatan atau perkampungan masyarakat Orang Asli, di mana Tok Batin atau penghulu turut memainkan peranan penting.

"JAKOA juga perlu memberi perhatian dalam pemilihan Tok Batin. Ia (pemilihan) perlu dipastikan dalam kalangan suku kaum, bukannya orang luar.

"Tok Batin yang dipilih juga perlu tahu fungsi serta peranan mereka. Pada masa sama, jangan ada pihak mengambil kesempatan dengan menghasut masyarakat Orang Asli," titah baginda.

Titah baginda, masyarakat Orang Asli bukannya golongan terpinggir dan JAKOA sentiasa memastikan golongan berkenaan terus membangun dan maju.

Baginda bertitah demikian ketika mengadakan pertemuan bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Datuk Azmi Rohani, Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad dan wakil daripada JAKOA Johor serta JAKOA Daerah Johor Bahru, baru-baru ini.

Titah baginda, masyarakat berbilang kaum yang hidup bersatu padu menjadi tunjang perpaduan Bangsa Johor selama ini.

"Atas sebab itulah, perlunya peraturan tertentu bagi mengawal keharmonian dan kesejahteraan ini, termasuk berkaitan pembinaan rumah ibadat.

"Saya menyeru semua rakyat mematuhi peraturan ini demi kesejahteraan sejagat," titah baginda.

Sultan Ibrahim juga bertitah, menasihatkan masyarakat Orang Asli sentiasa menjaga kebersihan dan keindahan penempatan masing-masing bertujuan memastikan aspek kesihatan sentiasa terjaga.

(Sultan Ibrahim Sultan Iskandar)

Media Baharu