fb fb fb fb fb

JAKIM lapor MCMC berhubung akaun “Lyan Liu” hina Islam

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee / Foto Hiasan / Bernama

PUTRAJAYA, 18 April – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengemukakan aduan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap pemilik akaun media sosial bernama “Lyan Liu” yang didakwa menyebarkan kenyataan berunsur penghinaan, hasutan serta kebencian terhadap agama Islam.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee memaklumkan pihaknya memandang serius perkara tersebut dan menegaskan tindakan sewajarnya perlu diambil mengikut lunas undang-undang kerana kenyataan terbabit jelas berunsur ekstremisme, kebencian agama dan perkauman.

“Kebebasan bersuara tidak seharusnya disalahgunakan untuk menimbulkan ketegangan antara kaum dan agama. Tindakan seperti ini boleh mencetuskan sensitiviti umat Islam, mengganggu ketenteraman awam serta menggugat perpaduan nasional,” katanya menerusi kenyataan.

JAKIM menyeru orang ramai agar tidak bertindak balas secara emosional terhadap sebarang bentuk provokasi sedemikian dan sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas.

Individu terbabit dilaporkan telah memuat naik kenyataan yang mengandungi unsur penghinaan keterlaluan terhadap agama Islam dan bangsa, yang secara jelas bertentangan dengan prinsip keharmonian dan toleransi yang menjadi asas perpaduan negara.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN