fb fb fb fb fb

JAIPk ambil tindakan selesaikan kes wanita berpakaian ihram di luar mahkamah

(FOTO FAIL)

IPOH, 28 September - Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) mengesahkan kes berkaitan wanita berpakaian ihram seperti lelaki ketika menunaikan umrah di Makkah yang tular di media sosial, sudah diselesaikan secara baik di luar mahkamah.

Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin berkata kes itu sudah pun diselesaikan hampir sebulan lalu dengan wanita terbabit juga turut melalui sesi kaunseling.

Beliau berkata wanita itu tampil bersama ibu dan bapanya di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Perak Tengah di Seri Iskandar dan memberikan kerjasama cukup baik.

(Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin)

"Negeri Perak ada cara tersendiri bagaimana hendak menangani orang-orang yang seumpama ini. Tidak semestinya dalam mencegah sesuatu, ia perlu bersifat suatu hukuman atau tangkap, apatah lagi mendera.

"Ini kerana ada kaedah lain yang boleh kita gunakan, tambahan pula dia dan keluarganya berikan kerjasama sangat baik dengan datang sendiri kepada kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Karnival Pendidikan Islam Sepanjang Hayat Negeri Perak (K-PISH) di Dewan Institut Tadbiran Islam Negeri Perak (INTIM), di sini.

Sebelum ini tular video mengenai wanita itu di Makkah dengan lengkap berpakaian ihram seperti jemaah umrah lelaki, sehingga mengundang kemarahan banyak pihak yang menuntut tindakan tegas dikenakan ke atasnya.

Media Baharu