PUTRAJAYA, 21 Ogos - Menangani ketidakstabilan politik serta mengurus keseimbangan antara ekonomi dan kesihatan akibat pandemik COVID-19 yang menghimpit rakyat Malaysia adalah antara cabaran sukar yang dihadapi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sepanjang setahun menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri.
Tempoh berkenaan adalah masa paling mencabar dalam kerjaya politik Ismail Sabri, yang mengambil alih tampuk kepimpinan negara tatkala penularan wabak masih melanda dan menyaksikan kesannya terhadap kehidupan rakyat dirasai sehingga hari ini.
Mempunyai pengalaman dibesarkan dalam kehidupan susah dengan pendapatan tidak menentu keluarganya, Ahli Parlimen Bera itu dapat merasai kesukaran dihadapi rakyat khususnya golongan B40 yang berdepan risiko kehilangan pekerjaan dan survival ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada Mac 2020 hingga Mac lepas.
(FOTO FAIL)
"Itu yang paling sukar dan mencabar sebab antara dua kepentingan yang saya kena jaga, yang perlu saya pilih nyawa atau mata pencarian.
"Keputusan lain saya anggap tidak terlalu berat, tapi sekatan pergerakan itu merupakan satu keputusan yang berat. Saya takut waktu itu orang kena buang kerja, kalau kilang tutup berapa ramai pekerja kena buang," katanya dalam temu bual Inspirasi Setahun Keluarga Malaysia Bersama Perdana Menteri di Seri Perdana.
Hari ini, genap setahun Ismail Sabri menerajui kerajaan Keluarga Malaysia.
Malaysia kini berada dalam fasa peralihan endemik sejak April lepas, yang menjadi strategi keluar dan pembukaan sepenuhnya sektor ekonomi serta sempadan negara.
Dalam usaha memulihkan semula ekonomi negara, Ismail Sabri berdepan cabaran sukar apabila berlaku konflik Rusia-Ukraine yang memberi kesan terhadap perancangan kerajaan.
"Jadi agak sukar di peringkat awal. Tetapi Alhamdulillah, kalau tengok pengumuman yang dibuat Bank Negara Malaysia, dari segi KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar), kita terbaik di Asia Tenggara dan berbanding dengan kuasa-kuasa besar lain, kuasa ekonomi seperti China, Jepun, Amerika Syarikat dan Eropah, kita jauh lebih tinggi dari segi KDNK," katanya.
(FOTO FAIL)
Malaysia mencatatkan pertumbuhan KDNK suku kedua 2022 pada 8.9 peratus. Sepanjang Januari hingga Jun, ekonomi negara berkembang sebanyak 6.9 peratus.
Mengambil alih tampuk kepimpinan di saat negara berdepan ketidakstabilan politik, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO, berkata pemeteraian Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan bukanlah satu perkara mudah.
"Bukan mudah sebab kita juga kena jawab kepada parti kita (kenapa kita menandatangani MoU). Kita di Malaysia dilatih pembangkang adalah pembangkang, kerajaan adalah kerajaan. Kita parti pemerintah tak akan bersama parti pembangkang," katanya.
Mengenai prestasi anggota Kabinet sepanjang setahun ini, Perdana Menteri berkata beliau masih belum membuat penilaian namun secara keseluruhannya, beliau melihat banyak isu yang berjaya diselesaikan seperti harga ayam dan minyak serta pemulihan ekonomi.
"Ia bukan sempurna, ada yang bagus ada yang kurang berjaya, tak berapa bagus. Tapi kita akan lihat secara keseluruhanlah, kalau kita lihat yang isu-isu banyak diselesaikan dengan baik, tentulah kesan (hasil) dari keseluruhan pentadbiran.
"Kita tengok kejayaan ini secara menyeluruh bukan setakat individu dalam Kabinet kerana keputusan Kabinet adalah keputusan semua walaupun anda (menteri) setahun tak pernah cakap sepatah pun dalam Kabinet namun keputusan Kabinet adalah keputusan kita semua termasuk anda (menteri) yang tak bercakap," katanya.
Mengenai keperluan untuk melantik Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri berkata setakat ini, beliau tidak terbeban dengan ketiadaan penyandang jawatan itu kerana memiliki empat Menteri Kanan yang mewakili parti gabungan untuk membantunya. - BERNAMA