KUALA LUMPUR, 19 Oktober -Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan bahawa isu teknikal dan penyalahgunaan MyKad untuk penebusan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) akan diselesaikan segera bagi memastikan kelancaran penyaluran subsidi bersasar.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan memandang serius perkara itu dan tidak akan membiarkan penerima layak teraniaya akibat penyalahgunaan identiti.
"Sekiranya berlaku penyalahgunaan, baki sumbangan SARA akan dipulangkan semula kepada penerima yang terjejas selepas siasatan disahkan." katanya dalam satu kenyataan.
Jelas beliau, pemegang MyKad diminta membuat laporan polis bagi membolehkan Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca serta memastikan hak penerima dikembalikan.
KDN menerusi JPN kini bekerjasama rapat dengan MOF bagi menyelesaikan isu teknikal berkaitan pengesahan dan keselamatan MyKad.
"Antara langkah penambahbaikan itu termasuk pemadanan data MyKad yang dikemas kini secara berkala, semakan versi kad bagi mengelakkan salah guna, serta peningkatan keselamatan infrastruktur digital JPN," katanya.
Datuk Seri Saifuddin berkata, Kerajaan MADANI komited memastikan pelaksanaan subsidi bersasar dilaksana secara telus, selamat dan adil agar setiap sen bantuan sampai kepada rakyat yang layak tanpa penyelewengan atau kehilangan hak.