fb fb fb fb fb

Isu pengampunan Najib: Ikut prosedur sedia ada - Ahmad Zahid

MACHANG, 10 April- UMNO menegaskan tindakan memohon ihsan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk pengampunan penuh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bukan berdasarkan tekanan atau desakan politik.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahamd Zahid Hamidi sebaliknya berkata, apa yang dilakukan mereka adalah mengikut prosedur dan perundangan yang sedia ada.

Jelas Timbalan Perdana Menteri, terserah kepada Lembaga Pengampunan untuk mempertimbangkan permohonan tersebut.

Kini, pihaknya sedang berusaha untuk mendapatkan tarikh bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong.
 
"Sebagai sebuah parti tentunya kami prihatin terhadap bekas pemimpin kami. Kita telah berikhtiar utk memperoleh tarikh dan insya-Allah kita yakin dalam waktu terdekat tarikh itu akan diberikan kepada kami," katanya.

Menurutnya, UMNO sebulat suara memberi dokongan dengan lebih 3,000 tandatangan diambil oleh Ketua UMNO Bahagian, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri bagi memohon pertimbangan itu.
 
Terdahulu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid menghadiri Majlis Tautan Kasih Ramadan di Pusat Transformasi Ilmu Bukit Tiu, Machang yang turut dihadiri, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yakub.
 
Sementara itu, UMNO turut mengulangi rayuan kepada rakyat Kelantan supaya memberi peluang dan mandat kepada parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk
Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media sempena majlis Santunan Kasih Ramadan
KKDW di Pusat Transformasi ilmu Bukit Tiu / FOTO BERNAMA

Beliau berkata, pihaknya berjanji akan melakukan perubahan besar kepada Kelantan terutama bagi menyelesaikan masalah air dan membangunkan infrastruktur termasuk di kawasan luar bandar.
 
"Insya-Allah kalau kerajaan negeri itu bawah kita ada pelbagai tatacara, kewangan serta tata kelola pentadbiran yang kita boleh lakukan.

"Insya-Allah Kerajaan Negeri Kelantan kita akan bantu jika dipimpin oleh parti yg sama dengan parti di Putrajaya," katanya.
 
Menurut beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, sukar untuk pihaknya membantu menyelesaikan masalah dialami penduduk sekiranya negeri itu bukan dibawah Kerajaan Persekutuan memandangkan peruntukan diterima agak terhad.

Media Baharu