(Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah)
ALOR SETAR, 18 Oktober- Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menzahirkan rasa simpati yang mendalam terhadap rakyat Palestin atas kekejaman rejim Israel.
Titahnya, rakyat Palestin menanggung penderitaan yang tidak berkesudahan dalam usaha mendapatkan keadilan sejak dari dahulu hingga kini.
Sementara itu, baginda bertitah, prinsip zakat dan wakaf boleh dijadikan asas dalam membantu mereka yang memerlukan, bukan sahaja di Palestin tetapi di seluruh dunia.
"Isu Palestin menyerlahkan keperluan mendesak untuk perpaduan global, belas kasihan, dan perkongsian sumber.
"Dalam hal ini, prinsip zakat dan wakaf adalah asasnya untuk membantu mereka yang memerlukan, bukan sahaja di Palestin tetapi di seluruh dunia.
"Oleh itu, saya menantikan idea dan resolusi inovatif anda, yang mungkin timbul daripada forum ini, untuk meringankan penderitaan mereka yang memerlukan," titahnya ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Ke-12 World Zakat And Waqaf Forum 2023 di sini.
Persidangan selama empat hari bermula 17 Oktober hingga 20 Oktober itu dihadiri lebih 1,000 peserta dari 22 negara secara fizikal dan virtual dengan hampir 100 kertas kerja dibentangkan.
Bertemakan “Memberi Makan Kepada Dunia, Zakat dan Waqaf Untuk Keselamatan Makanan Global Yang Mampan”, persidangan tersebut bertujuan untuk menyediakan platform bagi perbincangan yang bermanfaat, perkongsian amalan terbaik dan membentuk perkongsian sesama peserta.
Titah baginda lagi, bagi memberi penekanan potensi zakat dan wakaf dalam menangani isu keselamatan makanan global, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) telah memulakan langkah dengan melaksanakan Skim Smart Sawah Berskala Besar Asnaf (Smart SBBA).
Inisiatif itu memberi tumpuan kepada memastikan rantaian bekalan beras yang mampan daripada segi pengeluaran, memberi manfaat kepada asnaf dan menunjukkan komitmen penuh belas kasihan, serta rasa kewajipan menunaikan zakat.
(Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah (dua kanan) pada Persidangan Antarabangsa
Ke-12 World Zakat And Waqaf Forum 2023 di Alor Setar, Kedah)