(Anwar Ibrahim (dikalungkan bunga malai) pada Program Ramah Mesra PM bersama Masyarakat India
Pulau Pinang di Seberang Perai)
SEBERANG JAYA, 16 Julai- Semua kaum harus mengekalkan semangat bersatu padu agar isu kemiskinan tegar dapat diatasi dengan lebih berkesan, menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, statistik jelas menunjukkan seramai 130,000 rakyat dikategorikan sebagai miskin tegar dalam negara.
"Dan untuk itu, semua kaum kena bersama. Pendekatan kita harus ada (semangat bersatu padu). Saudara lihat, kalau ceramah-ceramah, program-program saya, saya tak bangkit sangat soal kaum. Apa keutamaan kita? Sebaik saya ambil alih (kerajaan), buat Belanjawan Madani, pertama keluarga kita yang paling miskin, yang kita sebut kemiskinan tegar di negara ini, (direkodkan) 130,000 keluarga, (ini yang) kita kena selesaikan tahun ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Program Ramah Mesra PM bersama Masyarakat India Pulau Pinang di sini.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Menurut Anwar, isu kemiskinan tegar yang membelenggu negara perlu diatasi dalam tahun kerana ia memberi satu pengertian besar kepada Kerajaan Perpaduan, malahan perkara itu sesuatu yang amat dekat dihati beliau untuk diselesaikan segera.
Perdana menteri meluangkan masa kira-kira sejam dengan masyarakat India pada program berkenaan.
(Anwar Ibrahim (biru) pada Program Ramah Mesra PM bersama Masyarakat India
Pulau Pinang di Seberang Perai