fb fb fb fb fb

Isu lambakan graduan perguruan akan diselesaikan tahun ini - Fadhlina

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 31 Mei - Kementerian Pendidikan (KPM) bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) telah memulakan usaha proaktif menangani isu lambakan graduan lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata perkara itu yang turut mengambil pandangan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) diharap akan dapat diselesaikan tahun ini secara berperingkat.

(Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek)

“Kita di KPM sudah ada buat usaha dengan SPP untuk menangani isu itu. Kita ambil maklum pandangan NUTP pada masa sama gerakan dan tindakan proaktif kita adalah bersama SPP,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Buku Sokongan Pendidikan Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP), sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan NUTP baru-baru ini bahawa kecenderungan universiti awam dan swasta dalam melahirkan siswazah perguruan tanpa unjuran keperluan KPM, boleh menyumbang kepada isu pengangguran dalam kalangan graduan bidang tersebut.

Media sebelum ini melaporkan seramai 4,390 lepasan ISMP menamatkan pengajian masing-masing antara 2011 hingga 2020 namun sebahagiannya masih tidak mendapat panggilan temu duga untuk ditempatkan di sekolah.

Tambah Fadhlina, kecenderungan Universiti Awam dan swasta menawarkan pengajian pendidikan tanpa unjuran Kementerian Pendidikan antara faktor penyumbang lambakan graduan perguruan.

Media Baharu