fb fb fb fb fb

Isu kualiti meragukan kit saringan kendiri COVID-19 akan ditangani

PUTRAJAYA, 17 Februari - Kementerian Kesihatan akan mengendalikan ujian terhadap kit saringan kendiri COVID-19 di pasaran yang dikesan mempunyai kualiti dan ketepatan meragukan.

Menterinya, Khairy Jamaluddin mengakui pihak kementerian mengambil maklum tentang rungutan dan aduan orang ramai terhadap ralat keputusan apabila membuat saringan menggunakan kit saringan kendiri yang dijual di pasaran.

FOTO: BERNAMA

Sehubungan itu, katanya, Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) diarahkan supaya memanggil semua pembekal kit ujian kendiri bagi meneliti isu berkenaan.

"Memang kita ambil maklum mengenai keraguan terhadap kit saringan kendiri menggunakan sampel air liur yang dijual di pasaran kerana dikatakan memberi keputusan negatif palsu.

"Sehubungan itu, saya arahkan MDA supaya menyampaikan saranan kepada pembekal untuk meminta maklumat jaminan kualiti daripada pengilang atau pengeluar kit saringan.

"Mereka juga harus semak sama ada proses jaminan kualiti bagi setiap produk kit saringan kendiri itu dibuat dari semasa ke semasa.

"Pada ketika ia diluluskan MDA, ketepatan mungkin 99% tetapi kadar itu mungkin merosot dalam tempoh tertentu," katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Susulan peningkatan kes harian, pelbagai pihak mula meluahkan rungutan apabila kit saringan kendiri yang dibeli di pasaran memberi keputusan ujian meragukan.

Keputusan yang dikhuatiri negatif palsu itu dikaitkan dengan sesetengah jenama kit ujian kendiri, sekali gus mencetuskan kebimbangan orang ramai mengenai risiko jangkitan COVID-19 tanpa sedar dalam kalangan anggota masyarakat.

Khairy berkata, hasil tindakan MDA menangani isu tersebut akan dimaklumkan kepada umum selepas keseluruhan proses selesai.


Media Baharu