PETALING JAYA, 6 Mac- Isu berkenaan Kad Perakuan Media Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) termasuk mengenai tempoh sah lakunya sedang diteliti dan penyelesaiannya akan diumum dalam masa terdekat.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, JaPen sedang mengemas kini dan menyelaras kembali tempoh sah laku Kad Perakuan Media untuk semua organisasi mengikut beberapa prosedur operasi standard (SOP).
"Ada beberapa perkara saya minta untuk diteliti dan ia sedang diselaras semula.
"Jadi, ini masih dalam pertimbangan JaPen dan Insya-Allah dalam masa yang tidak terlalu lama, kita akan ada pengumuman susulan mengenai isu ini," katanya kepada pemberita selepas pelancaran solusi digital penjagaan kesihatan oleh CelcomDigi di sini.
Sementara itu, Fahmi menegaskan, penyelarasan tersebut bukan bertujuan mengekang kebebasan bersuara pengamal media.
Ia juga tidak berfungsi seperti “lesen” yang diwajibkan ke atas mereka.
Sebaliknya, penyelarasan itu berperanan sebagai medium pemudah cara untuk membuat liputan terutama melibatkan program rasmi kerajaan.
Semalam, JaPen dalam kenyataan memaklumkan pihaknya sedang menyelaras SOP Kad Perakuan Media JaPen termasuk berkaitan tempoh sah laku kad berkenaan.
Penyelarasan turut mengambil kira dokumen Kod Etika Wartawan Malaysia (KEWM) Institut Akhbar Malaysia (MPI) yang telah dikemas kini baru-baru ini.