fb fb fb fb fb

Bangkai helikopter A3139 dibawa naik tengah malam tadi

Bangkai helikopter AW139 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dibawa naik kira-kira 12.15 tengah malam tadi/Foto Ihsan Maritim Malaysia

PUTRAJAYA, 6 Mac - Bangkai helikopter AW139 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang melakukan pendaratan cemas di perairan Pulau Angsa, Selangor semalam berjaya dibawa naik.

Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, helikopter itu dibawa naik dengan bantuan syarikat penyelenggaraan pesawat udara agensi itu kira-kira 12.15 tengah malam tadi.

Beliau berkata, helikopter itu kemudiannya dibawa berlabuh di jeti Pelabuhan Klang dan seterusnya ke Stesen Udara Maritim Subang (SUMS) pada 3.30 pagi untuk tindakan lanjut.

“Mencatat rekod hampir lima ribu jam penerbangan, helikopter terbabit telah melaksanakan pelbagai misi penerbangan operasi seperti Op Naga, Op Kuda Laut, Op Pagar Laut, Op Benteng, Op Jangkar Haram, Op Patkor Optima, OpRedback dan lain-lain operasi penguatkuasaan.

“Selain itu, pesawat itu juga banyak terlibat dengan pelbagai misi Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) yang dikoordinasikan APMM,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambahnya, sepanjang 14 perkhidmatan bersama APMM, pesawat itu turut terlibat beberapa siri pemindahan perubatan (MADEVAC) mangsa sama ada di pulau atau di pelantar minyak yang berada di perairan negara.

"Helikopter itu telah digunakan untuk menyelamatkan lima orang pemancing yang terkandas akibat cuaca buruk di Pulau Batu Berantai di Barat Laut Pantai Remis, Jeram pada 2022.

"Helikopter itu juga sering membawa Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) bagi melakukan pendaratan paksa dan terbaharu ialah kejayaan membantu Badan Keamanan Laut Republik Indonesia (BAKAMLA) menahan sebuah kapal tangki berdaftar dari Iran yang disyaki melakukan pemindahan minyak secara haram di perairan Indonesia tahun lepas," tambahnya.

Terdahulu, Maritim Malaysia mengesahkan helikopter jenis AW139 milik agensi itu melakukan pendaratan cemas ketika menjalani latihan menyelamat di perairan Pulau Angsa, Selangor pada 9.55 pagi namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Empat kru termasuk juruterbang yang terlibat dilaporkan stabil dan selamat dan memohon agar kesemua mereka diberikan ruang dan tidak diganggu oleh mana-mana pihak.

“Kesemua mereka telah menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh APMM semalam,” katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN