fb fb fb fb fb

Israk Mikraj: Institusi masjid penting bina masyarakat MADANI berkualiti - Aminuddin

Aminuddin Harun

SEREMBAN, 8 Februari- Masjid seharusnya menjadi pusat pembinaan sistem nilai dan akhlak, selain merupakan institusi penting dalam membina masyarakat berkualiti ke arah membangunkan negara MADANI.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kualiti dan kemuliaan seseorang insan itu dapat digilap dan ditingkatkan menerusi pelbagai program serta aktiviti masjid yang lebih kreatif dan inovatif.

Masyarakat juga diseru mengangkat tema “Bersama Membina Negara MADANI” dalam membina iman dan menghayati nilai-nilai akhlak yang mulia.

"Mulakan dengan membangunkan dan menggilap potensi akal dan hati yang ada dalam jiwa, membangunkan potensi akal dengan berfikir, termasuk meningkatkan kreativiti dan inovasi.

"Manakala menggilap potensi hati dengan berzikir, dengan amalan-amalan penyucian jiwa," katanya dalam ucapan pada Majlis Sambutan Israk Mikraj di Masjid Muhammad Al Fateh, Forest Height Senawang di sini.

Kira-kira 1,600 orang hadir mengimarahkan majlis tersebut malam tadi.

Pada majlis sama, 28 buah masjid dianugerahkan hadiah bagi peningkatan jemaah masjid melibatkan 14 buah masjid kategori bandar dan 14 lagi kategori luar bandar.

Inisiatif itu adalah kesinambungan pelaksaaan Pelan Peningkatan Jemaah Masjid 2023-2024 yang diumumkan pada Januari tahun lalu.

SITI AISHAH BINTI MD ISA