(PM menyantuni Keluarga Malaysia sebailk tiba di tanah air/FOTO BERNAMA)
SUBANG, 15 Mei- Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini pagi tadi setelah melakukan lawatan kerja selama empat hari di Amerika Syarikat (AS).
Kira-kira 400 orang terdiri daripada kepimpinan UMNO, mahasiswa dan belia serta Keluarga Malaysia berada di perkarangan pangkalan udara itu untuk menyambut ketibaan Perdana Menteri dengan membawa pelbagai kain rentang.
Antara yang kelihatan tertera pada kain rentang adalah "DSIS lantang perjuangkan rakyat Palestin di depan pemimpin dunia”, "Salute keberanian YAB PM tak gentar perjuangkan isu keamanan depan pemimpin dunia” dan "Thank you PM DSIS less talk, more action" diiringi lagu patriotik ‘Inilah Barisan Kita’.
Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Ismail Sabri turut memberhentikan kenderaannya serta meluangkan masa kira-kira setengah jam menyantuni mereka yang hadir.
Dalam lawatan kerja di AS, Perdana Menteri mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS di samping mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika Joe Biden serta pemimpin negara-negara ASEAN.
Dalam sidang medianya di penghujung lawatan, beliau menyifatkan lawatan itu sebagai satu kejayaan dalam mengukuhkan lagi hubungan Malaysia-AS serta ASEAN-AS, dan pada pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS yang dipengerusikan Biden pula, perdana menteri menyentuh pelbagai isu termasuk krisis Rusia-Ukraine, Laut China Selatan, Palestin dan Myanmar.
Menurut Perdana Menteri konflik-konflik itu bukan sahaja menjejaskan ekonomi dunia tetapi juga mengorbankan rakyat yang tidak berdosa.
(Ismail Sabri bergambar bersama Keluarga Malaysia sebaik tiba di tanah air kira-kira jam 9.30 pagi Ahad
di Pangkalan Tentera Udara Subang, setelah mengakhiri lawatan kerja empat hari ke Amerika Syarikat/FOTO BERNAMA)
Malaysia adalah satu-satunya negara pada persidangan itu yang secara berterus-terang meminta agar AS membantu melaksanakan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai pembentukan negara Palestin sebelum perang 1967 yang memberi hak Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Palestin.
Di hadapan Presiden AS, Perdana Menteri meminta AS berlaku jujur dan telus dalam menangani isu Israel-Palestin dan berkata: “Kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin yang terus berleluasa harus dihentikan segera.
Mengenai isu Laut China Selatan dan Myanmar pula, Malaysia mahu Laut China Selatan kekal sebagai kawasan bebas daripada campur tangan kuasa besar dan kekal sebagai kawasan perdagangan bebas dan meminta kuasa-kuasa besar sama ada China atau AS menghentikan provokasi di Laut China Selatan.
Dalam isu Myanmar, Malaysia berharap ia dapat diselesaikan secara diplomatik dengan pematuhan konsensus lima perkara ASEAN mengenai Myanmar.
Sebagai sebuah negara paling terkesan dengan kebanjiran pelarian dari Myanmar, Malaysia meminta AS membantu memindahkan mereka ke negara ketiga lain.
Sementara itu, seorang pereka kandungan media, Muhammad Adib Aiman Badrul Shahar, 33, yang turut menyambut kepulangan Perdana Menteri berkata, beliau tiba di perkarangan pangkalan udara itu pada pukul 8 pagi.
“Kepulangan Perdana Menteri dari AS membawa berita baik, mengundang kehadiran pelabur luar, di samping membawa nama baik Malaysia, dan tidak salah untuk kita menyambutnya,” katanya.
Beliau berkata seperti mana orang ramai menyambut kepulangan atlet yang membawa kejayaan kepada negara, perkara seumpama itu juga patut dilakukan kepada Perdana Menteri yang lantang bersuara di peringkat antarabangsa.
Siswazah Universiti Malaya, Wan Nuremmelly Mekar, 21, yang tiba di pangkalan itu sekitar 7.50 pagi pula berkata: “Sebagai rakyat Malaysia, saya rasa bangga kerana Perdana Menteri berpeluang ke AS untuk bertemu dengan pemimpin dunia,” katanya.
-BERNAMA