PUTRAJAYA, 25 April- Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hadir di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini, untuk menyambung proses memberi keterangan.
Ahli Parlimen Bera itu hadir kali kesembilan untuk membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan beliau.
Kenderaan membawa Ismail Sabri itu tiba pada pukul 2.52 petang dan kemudian memasuki premis berkenaan.
Semalam, beliau dilihat meninggalkan ibu pejabat SPRM pada pukul 6.11 petang selepas selesai proses merakam keterangan yang berlangsung selama tujuh jam.
Ismail Sabri disiasat berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung perbelanjaan dan perolehan dana untuk promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia semasa tempoh perkhidmatan beliau sebagai Perdana Menteri dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.