fb fb fb fb fb

IPC tarik balik penggantungan Rusia, Belarus

Foto AFP

MUNICH, 27 September - Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) pada Sabtu memutuskan untuk menarik balik penggantungan terhadap Rusia dan Belarus yang dikenakan sejak pencerobohan Moscow ke atas Ukraine pada 2022.

Keputusan pada Mesyuarat Agung IPC di Seoul itu membuka laluan kepada atlet Rusia dan Belarus untuk kembali bertanding di bawah bendera negara masing-masing pada Sukan Olimpik Musim Sejuk Milan-Cortina tahun depan.

Bagaimanapun, penyertaan rasmi masih tertakluk kepada persekutuan sukan antarabangsa yang sehingga kini mengekalkan larangan terhadap atlet kedua-dua negara dalam enam acara utama iaitu ski para alpine, ski para merentas desa, papan salji para, biathlon para, hoki ais para dan curling berkerusi roda.

“Keputusan ini bermaksud Jawatankuasa Paralimpik Kebangsaan (NPC) Belarus dan Rusia kini mendapat semula semua hak dan keistimewaan sebagai ahli IPC,” kata IPC dalam kenyataan.

“IPC akan bekerjasama dengan kedua-dua anggota berkenaan untuk melaksanakan pengaturan praktikal secepat mungkin.”

Jawatankuasa Paralimpik Rusia menyambut baik langkah itu, menyifatkannya sebagai “keputusan yang adil” dan “contoh bagaimana hak atlet seharusnya dilindungi tanpa diskriminasi atas dasar politik atau kebangsaan.”

Untuk layak, setiap atlet perlu memiliki lesen aktif musim 2025/26 daripada persekutuan antarabangsa masing-masing.

Penggantungan itu asalnya diluluskan pada Mesyuarat Agung IPC 2023. Walau bagaimanapun, beberapa atlet Rusia dan Belarus dibenarkan bertanding di Sukan Paralimpik Paris 2024 di bawah bendera berkecuali dengan syarat ketat.

Sebelum ini, IPC telah mengecualikan Jawatankuasa Paralimpik Rusia dan Belarus daripada menyertai Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022.

Keputusan terbaharu ini dibuat lapan hari selepas Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) membenarkan kehadiran atlet Rusia dan Belarus di Milan-Cortina, dengan syarat mereka beraksi di bawah bendera berkecuali serta mematuhi syarat berkecuali.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD