fb fb fb fb fb

Operasi SAR warga emas hilang di Betong diteruskan esok

Tiada sebarang petunjuk baharu ditemui dan operasi ditangguhkan sehingga awal pagi esok/Foto JBPM

BETONG, 27 September – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang di kawasan hutan Nanga Buai, Ulu Padeh, di sini sejak 24 September lalu masih belum menemui sebarang petunjuk baharu.

Mangsa, Rumai Jantin, 75 tahun, dilaporkan hilang selepas keluar ke kawasan hutan berhampiran rumahnya.

Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pasukan SAR memulakan pencarian pada pukul 8.30 pagi dengan menumpukan operasi di sekitar anak Sungai Tebelian dan kawasan sejauh tiga kilometer dari rumah panjang mangsa.

Pada sebelah petang, pencarian difokuskan pula di kawasan belakang, iaitu lokasi penemuan beberapa barangan peribadi milik mangsa.

Namun, tiada sebarang petunjuk baharu ditemui dan operasi ditangguhkan sehingga awal pagi esok.

Seramai empat anggota Balai Bomba dan Penyelamat Betong bersama sebuah jentera pacuan empat roda terlibat dalam operasi tersebut.

Turut serta ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan RELA.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN