fb fb fb fb fb

Inventori spesies burung, serlah kepelbagaian maklumat biologi

ARAU, 23 September- Jabatan Perhutanan Negeri Perlis dengan kerjasama Persatuan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) menerbitkan sebuah buku mewah bertajuk ‘Birds of Perlis State Park @Wang Kelian, Perlis’ sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail ke-80.

Sebanyak 196 spesies burung direkodkan dalam inventori burung di lima kawasan Hutan Simpanan Kekal di sekitar Perlis iaitu Hutan Simpan Mata Ayer, Hutan Simpan Wang Mu, Hutan Simpan Bukit Bintang, Hutan Simpan Kurong Batang dan Hutan Simpan Bukit Papan.

Menurut Pengarah Perhutanan Negeri Perlis Ag. Shaffie Ag. Ahmadni, "daripada jumlah tersebut 169 spesies burung direkodkan di kawasan Taman Negeri Perlis, Wang Kelian."

Inventori burung penting untuk mengetahui status semasa maklumat kepelbagaian biologi di Taman Negeri Perlis sekali gus menjadi data asas berguna sebagai rujukan semasa dan masa hadapan.

"Maklumat inventori ini penting sebagai persediaan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Perlis untuk menjadikan pemerhatian burung sebagai produk pelancongan baharu bagi Perlis yang dikenali sebagai ‘Avitourism’." jelasnya.

Kesemua maklumat itu telah dipersembahmaklum kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sewaktu sesi mengadap di Galeri Diraja Arau.

Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan agar penerbitan buku-buku tersebut bagi memantapkan lagi rekod selain dapat terus menguar-uarkan lagi Taman Negeri Perlis di Wang Kelian sebagai habitat terbaik bagi spesies burung yang jarang ditemui.

Perkara itu sebahagian daripada promosi Tahun Melawat Perlis 2024-2025 dan pada masa yang sama dapat meningkatkan lagi kesedaran tentang kepentingan pemeliharaan hutan batu kapur yang unik supaya dapat dimanfaatkan oleh penduduk setempat dan juga para pengunjung secara lestari.

(Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail)

Media Baharu