fb fb fb fb fb

34 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan di pusat hiburan

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 23 September- Jabatan Imigresen Kuala Lumpur menahan 34 warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen dalam operasi penguatkuasaan di sebuah pusat hiburan di Jalan Pudu Ulu, di sini, tengah malam tadi.

Pengarahnya, Syamsul Badrin Mohshin berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 15 lelaki dan 19 wanita melibatkan warga Thailand, Myanmar dan Laos, berusia lingkungan 25 hingga 40 tahun yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO), penari dan penyanyi di pusat hiburan berkenaan.

Katanya antara kesalahan yang dikesan termasuk menetap lebih masa, tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan menyalahgunakan pas.

“Operasi serbuan ini dibuat susulan aduan orang awam dan bertindak atas maklumat itu, risikan dijalankan selama dua minggu sebelum serbuan dilakukan,” katanya dalam sidang media tengah malam tadi.

Syamsul Badrin berkata kesemua tahanan akan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk direman selama 14 hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1) (C) dan Seksyen 15(1) (C) akta sama serta Perkara 39(b) Peraturan Imigresen 1963.

Operasi kira-kira setengah jam yang bermula pada 11 malam itu disertai 40 pegawai dan anggota penguat kuasa jabatan itu.- BERNAMA


(FOTO HIASAN)

Media Baharu